- 20 Syawal 1445



PEJABAT DAERAH LAHAD DATU

LATAR BELAKANG

img

SEJARAH DAERAH

Bandar Lahad Datu merupakan Ibu Daerah dan Bandar terbesar di Daerah Lahad Datu dekat Pantai Timur Sabah, Malaysia. Bandar Lahad Datu juga ialah Bandar keempat terbesar di Sabah, selepas Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau
Bermula pada tahun 1890, penghijrahan kerajaan Kesultanan Sulu mula menguasai sebahagian Pulau Borneo Utara. Mengikut bahasa Idahan pula, iaitu satu kaum peribumi daerah ini, Lahad datu dahulunya diberi nama Kerugau, yang bererti batu karang bertompok-tompok di merata pantai bermula dari Kunak hingga ke Membatu, Tungku.
Bentuk geografi Lahad Datu semula jadi Teluk Darvel banyak membantu usaha kerajaan dari segi ekonomi di Sabah. Keistimewaannya sebagai pelabuhan yang selamat dari sebarang ancaman bencana alam kerana terlindung oleh Pulau Sakar. Keluasan daerah ini ialah 6,501 kilometer persegi atau 687,372 hektar meliputi daerah Tungku. Menurut bancian yang dibuat pada tahun 2010 jumlah penduduk daerah Lahad Datu termasuk Tungku ialah 195,865 orang.

img

LATAR BELAKANG LAHAD DATU

Bentuk muka bumi
Telukan Lahad Datu yang juga merupakan Teluk Darvel
Bentuk muka bumi bandar Lahad Datu adalah datar menghadap laut (Telukan Lahad Datu) dan berbukit di kawasan daratanya.
Iklim
Kawasan Bandar Lahad Datu terlindung daripada ancaman ribut kerana adanya Pulau Sakar yang mengelilingi kawasan bandar Lahad Datu serta memiliki iklim panas dan lembap sepanjang tahun.
Lokasi
Dengan Lokasinya yang strategik telah menjadikan bandar Lahad Datu sebagai pusat ekonomi keempat terpenting di Sabah.

Populasi Penduduk
Jumlah penduduk Lahad Datu setiap tahun meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan (%) iaitu 10.01 bagi tahun 1980-1991 dan 3.10 bagi tahun 1991 – 2000. Manakala bagi jumlah penduduk ialah 39,262 (1980), 118,096 (1991), 156,059 (2000), dan 206,861 (2010).
Populasi penduduk Bandar Lahad Datu sahaja sekitar 27,887 orang pada tahun 2010.
Suku kaum
Suku kaum yang menghuni Bandar Lahad Datu ialah suku kaum Idahan, Cina, Suluk, Bajau, Bugis, Jawa dan suku-suku minoriti yang lain dan warga asing dari Indonesia, Filipina dan Pakistan
Agama dan kepercayaan
Islam ialah agama yang dianuti oleh majoriti besar penduduk Bandar Lahad Datu dan diikuti oleh Buddha, Kristian, Sikh dan sebagainya.
Ekonomi
Bandar Lahad Datu
Lahad Datu merupakan bandar keempat terpenting di Sabah, dan juga pusat ekonomi dan perniagaan di kawasan Pantai Timur selain Bandar Sandakan dan Tawau.

img

LATAR BELAKANG PEJABAT DAERAH LAHAD DATU

Pejabat Daerah Lahad Datu diwujudkan pada awal tahun 40-an dan jawatan Pegawai Daerah yang pertama disandang oleh seorang berbangsa Inggeris yang bernama G.W. White. Bermula pada tahun 60-an, jawatan Pegawai Daerah telah disandang oleh warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah. Pejabat Daerah Lahad Datu merupakan nadi pentadbiran daerah dan menjadi tumpuan setiap jabatan serta orang awam dalam menyelesaikan urusan perkhidmatan, pembangunan dan keselamatan.

Pejabat Daerah Lahad Datu adalah sebuah jabatan kerajaan Negeri yang memberikan perkhidmatan kepada penduduk Lahad Datu dan Tungku. Ia menyelaraskan kegiatan-kegiatan 21 buah jabatan/ agensi Kerajaan Negeri/ agensi berkanun dan 44 jabatan/ agensi Kerajaan Persekutuan/ agensi berkanun di peringkat daerah. PDLDPegawai Daerah Lahad Datu adalah bertanggungjawab mengikut aliran kuasa (Lineally responsible) kepada Yang Berhormat Setiausaha kerajaan Negeri dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Sabah dalam perkara pentadbiran pejabat, pengurusan personel, dan pengurusan projek-projek kecil pembangunan luar bandar. Beliau juga bertanggungjawab secara fungsi (Functionally responsible) kepada jabatan-jabatan/agensi-agensi lain di peringkat Negeri dalam berbagai bidang fungsi yang dijalankan di peringkat daerah yang merangkumi kawasan seluas 657,372 hektar dengan penduduk seramai lebih kurang 306,360 orang (Lahad Datu 226,360 orang & Tungku - 80,000 orang).

Secara umumnya, Pejabat Daerah Lahad Datu terbahagi kepada beberapa unit iaitu Bahagian Pentadbiran, Kewangan dan Hasil, Bahagian Pembangunan dan Pentadbiran Luar Bandar dan Bahagian Hal Ehwal Anak Negeri. Pegawai Daerah dibantu oleh 3 orang Penolong Pegawai Daerah yang mana masing-masing mengetuai Bahagian Pentadbiran, Kewangan dan Hasil dan Bahagian Pembangunan dan Pentadbiran Luar Bandar.

Pegawai Daerah juga dibantu oleh seorang Pembantu Tadbir Kanan di Pejabat Urusetia Kecil Tungku bagi menguruskan pentadbiran di daerah Tungku. Hal-ehwal Anak Negeri pula, di ketuai oleh oleh seorang Ketua Daerah. Bangunan Pejabat Daerah ini turut menjadi bangunan pinjaman kepada beberapa organisasi lain iaitu Jabatan Perkhidmatan Kebajikan dan Jabatan Bendahari Negeri yang turut berada di bawah kawalan Pejabat Daerah Lahad Datu.